Modric setia bersama Real Madrid

Modric. Foto Agensi
Modric. Foto Agensi
A
A
A

TEKA-TEKI nasib pemain veteran, Luka Modric terjawab apabila dia kekal bersama Real Madrid untuk semusim lagi sehingga Jun 2024.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan daripada kelab pada Isnin.

Pemain tengah berusia 37 tahun itu merupakan watak utama Madrid di sebalik tawaran menarik kelab dari Arab Saudi yang mahu melamarnya ketika kontraknya tamat akhir bulan ini.

Kapten Croatia itu mengikut jejak Toni Kroos, Dani Ceballos dan Nacho Fernandez yang melanjutkan kontrak di Madrid pada musim panas ini.

"Sepanjang 11 musim bersama kami, dia beraksi dalam 488 perlawanan dan meraih 23 trofi," kata Real Madrid dalam satu kenyataan.

Modric menjulang trofi Liga Juara-Juara lima kali bersama Madrid sejak menyertainya dari Tottenham Hotspur pada 2012.

Dia juga cemerlang membantu Madrid dengan tiga gelaran La Liga dan dua Copa del Rey.

Modric dan Croatia menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Negara-Negara.

Malah dia juga masih belum mengumumkan sama ada mahu bersara daripada bola sepak antarabangsa atau terus beraksi sehingga Kejohanan Eropah tahun depan.