Padah lawan arus elak sekatan jalan raya

Tangkap layar rakaman video yang tular di media sosial mengenai kejadian seorang penunggang motosikal lawan arus sebelum melanggar kereta di daerah Sungai Buloh, pada Sabtu. (Gambar kecil: Shafa'aton)
Tangkap layar rakaman video yang tular di media sosial mengenai kejadian seorang penunggang motosikal lawan arus sebelum melanggar kereta di daerah Sungai Buloh, pada Sabtu. (Gambar kecil: Shafa'aton)
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang penunggang motosikal cedera gara-gara melawan arus dan merempuh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Subang Perdana, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian pada jam 6.17 petang itu berlaku apabila lelaki tersebut bertindak demikian kerana cukai jalan dan insurans motosikal sudah tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen memandu.

"Penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC terbabit cuba berpatah balik dengan melawan arus sebelum merempuh Proton Persona," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, penunggang terbabit mengalami luka kecil dan menerima rawatan di klinik berhampiran.

"Kedua-dua pemilik kenderaan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Sebelum itu, tular di media sosial Facebook satu rakaman video berdurasi 52 saat memaparkan tindakan penunggang motosikal itu.