Hapus monopoli gula di pasaran

Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Mohd Farid Wan Zakaria
Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Mohd Farid Wan Zakaria
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menghapuskan monopoli pasaran gula di negara ini bagi mewujudkan persaingan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga pada masa hadapan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, kerajaan tidak sepatutnya dipegang tebusan industri kritikal seperti gula, sebaliknya menggalakkan persaingan dan fokus untuk membina kapasiti supaya menyokong perkembangan industri dan memaksimumkan potensi.

“Beberapa masalah biasa yang dikaitkan dengan isu monopoli dalam pasaran Malaysia hari ini ialah syarikat mempunyai keupayaan untuk menetapkan harga tanpa menghadapi persaingan yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa seorang ahli perniagaan terkemuka Malaysia yang mempunyai hubungan mendalam dengan kerajaan dan berminat membeli daripada peneraju industri gula.

Menurutnya, persaingan terbuka antara beberapa syarikat akan mewujudkan ekosistem ekonomi lebih kondusif dan memberi manfaat besar kepada orang ramai sebagai pengguna akhir.

Tambahnya, kekurangan motivasi untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau memperkenalkan teknologi baharu kerana tidak perlu bersaing dengan mana-mana syarikat lain.

“Mereka menjadi lebih dominan dan sering mencipta halangan kepada kemasukan pesaing berpotensi dan menyukarkan perniagaan baharu memasuki pasaran,” katanya.

Terdahulu,Terengganu berdepan krisis gangguan bekalan gula semasa cuti Aidilfitri pada tahun ini berdasarkan laporan krisis gangguan bekalan gula yang dihadapi di negeri itu berpunca daripada permintaan tinggi selain penutupan sementara dua kilang pengeluar.