PH-BN tak berebut kerusi Gombak Setia - Amirudin

Amirudin berucap di hadapan kira-kira 500 jentera PH-BN sempena Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas pada malam Ahad.
Amirudin berucap di hadapan kira-kira 500 jentera PH-BN sempena Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas pada malam Ahad.
A
A
A

KLANG - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan berlaku perebutan kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Gombak Setia.

Beliau menjelaskan, pembahagian kerusi DUN itu masih dalam perbincangan.

"Itu tidak betul kerana masing-masing sedang berbincang dan apabila berbincang bermakna tiada perebutan.

"Bagaimanapun, kita akan datang sebagai gabungan perpaduan dan elakkan pertembungan untuk menentang calon Perikatan Nasional (PN), " katanya mengulas dakwaan perebutan DUN Gombak Setia.

Beliau berkata demikian selepas selesai Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas di sini pada malam Ahad.

Ditanya nisbah pembahagian kerusi antara gabungan beliau berkata, ia mengutamakan winability (kebolehmenangan) dan calon berkredibiliti.

"Di Kelantan, BN dapat kerusi lebih sementara PH dapat sikit, begitu juga di Terengganu.

"Formula kami kemenangan, maknanya semua parti harus menampilkan calon (yang mempunyai) kredibiliti dan asas sokongan terhadap parti-parti yang bergabung bawah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Dalam pada itu Amirudin berkata, pembahagian agihan kerusi dijangka dimuktamadkan selepas Aidiladha dengan berbaki satu ke dua kerusi lagi yang belum diselesaikan.

Sementara itu soal bilangan calon muka baharu dan lama pula katanya, perkara itu belum dibincangkan kerana mahu menyelesaikan isu pembahagian kerusi terlebih dahulu.

"PH dan BN Selangor sedang mengumpul nama dan belum ada perbincangan soal calon.

"Semua sedang kumpul nama sama ada pusat dan negeri kemudian baharulah dibincangkan dalam mesyuarat, " katanya.

Isnin lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan DUN Selangor bagi memberi laluan kepada PRN Selangor.

Sebanyak 56 kerusi DUN terdapat di Selangor.