Paras air Empangan Bukit Merah meningkat

Empangan Bukit Merah ketika ini meningkat kesan daripada taburan hujan di dalam kawasan tadahan.
Empangan Bukit Merah ketika ini meningkat kesan daripada taburan hujan di dalam kawasan tadahan.
A
A
A

IPOH - Paras air Empangan Bukit Merah meningkat sebanyak 7.49 meter pada Ahad namun masih berada pada paras berjaga-jaga.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ahmad Shahrir Md Naziri berkata, paras air di empangan tersebut ialah 6.99 meter pada Rabu lepas.

"Ini adalah kesan daripada taburan hujan di dalam kawasan tadahan yang menyebabkan peningkatan pada paras empangan tersebut.

"Sekiranya paras air meningkat sehingga paras pada 7.62 meter atau lebih, pihak JPS negeri akan membuat penilaian semula sama ada proses catuan akan diteruskan atau tidak," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Shahrir berkata, status semasa bekalan pengairan adalah pada peringkat catuan manakala bekalan domestik kepada loji-loji rawatan air setakat ini masih normal dan berada dalam bekalan yang mencukupi.

"Kompatmen penanaman padi yang masih terjejas akibat paras empangan pada tahap asas berjaga-jaga pengairan ialah kompatmen D,E,F,G dan H seluas 12,405 hektar," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil inisiatif untuk menghantar 10 unit pam bergerak ke kawasan yang terjejas serta tiga unit pam yang disediakan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian.

Menurut beliau pihaknya telah memohon lima unit pam tambahan kepada JPS Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga. - Bernama