Penampilan Dayang Nurfaizah curi tumpuan netizen

Dayang yang mengenakan busana berona merah menghiburkan tetamu dengan persembahan yang indah. - Foto Instagram Dayang Nurfaizah
Dayang yang mengenakan busana berona merah menghiburkan tetamu dengan persembahan yang indah. - Foto Instagram Dayang Nurfaizah
A
A
A

PENAMPILAN penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah pada majlis pernikahan pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib dan Watie pada Jumaat lalu mencuri tumpuan netizen.

Dayang mengenakan busana berona merah kelihatan langsing dan cantik hadir menghiburkan tetamu dengan persembahan yang indah.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan di Instagram, ramai dalam kalangan netizen memuji penampilan terkini penyanyi yang berasal dari Sarawak itu.

Terdahulu, dengan sekali lafaz, Shuib sah bergelar suami kepada gadis pilihannya, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, yang berlangsung di Putra Glass Hall, Shah Alam sekitar jam 8.47 malam Jumaat.

Pasangan berkenaan dinikahkan abang pengantin perempuan, Qadhaffi Hanifiah di hadapan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Selangor, Ustaz Zubairi.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 39, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh. Namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Usahawan itu turut ditemani empat cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni; 12, Dzahira Talita Zahra; 10, Ariq Matin; 8, dan Ayash Affan berusia dua tahun.

Hari bahagia pasangan berkenaan turut diraikan 600 tetamu termasuk keluarga dan teman rapat kedua belah pengantin.

Antara artis dan selebriti yang hadir meraikan pasangan mempelai ialah Fad Bocey, Marsha Milan, Fasha Sandha, Wan Sharmila, Nora Danish, Dafi, Haiza, MK K-Clique dan lain-lain.