MVPRC juara baharu Liga Ragbi Johor 2023

Pemain-pemain MVPRC meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Ragbi Johor 2023 di Stadium Ragbi Johor, Johor Baharu. - Foto Agensi
Pemain-pemain MVPRC meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Ragbi Johor 2023 di Stadium Ragbi Johor, Johor Baharu. - Foto Agensi
A
A
A

MVPRC merangkul kejuaraan Liga Ragbi Johor 2023 selepas menewaskan Beringin Rendang RC, 15-10 dalam perlawanan akhir di Stadium Ragbi Johor, Johor Bahru pada Sabtu.

Bagaimanapun dalam perlawanan itu, MVPRC kendalian Hasif Mecca diberikan tentangan hebat Beringin Rendang pimpinan Tajol Arif.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 10-10.

Namun MVPRC yang diperkuatkan khidmat pemain berpengalaman seperti Mohd Syahir Ashraf dan Farid Sujari ternyata dalam kelas tersendiri.

MVPRC bangkit dengan permainan lebih bertenaga untuk mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 15-10.

Terdahulu, perlawanan tempat ketiga keempat menyaksikan BP Jockers menewaskan RMP Johor, 46-26.

Mohd Faiz
Mohd Faiz

Sementara itu, MVPRC mencipta kejayaan berganda apabila Mohd Faiz Amir dipilih pemain terbaik perlawanan akhir.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Ekmaluddin Ishak hadir menyampaikan hadiah kepada pasukan.

Sebagai rekod, kejuaraan telah berlangsung dari 20 Mei hingga 24 Jun melibatkan 10 pasukan kelab seluruh Johor.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Nor Fazreim Imran berkata, tujuan penganjuran Liga Ragbi Johor adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu bagi kejohanan tempatan seperti Piala Agong dan Kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan.

Selain itu jelasnya, Liga Ragbi Johor juga merupakan pentas untuk pasukan kelab sekitar Johor mendapatkan minit permainan kompetetif sebelum beraksi dalam kejohanan berintensiti tinggi lain.

“Matlamat utama penganjuran kejohanan ini juga bertujuan merakyatkan sukan ragbi dalam kalangan rakyat negeri Johor.

“Dan ia berjaya dijelmakan apabila stadium yang mampu memuatkan 500 penonton dipenuhi peminat ragbi untuk menyaksikan perlawanan akhir,” katanya.

Johan

MVPRC

Naib Johan

Beringin Rendang RC

Ketiga

BP Jokers

Keempat

RMP Johor