Ketepikan perbalahan lalu, kukuhkan Kerajaan Perpaduan

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

ALOR SETAR - DAP harus memainkan peranan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dengan memberikan sokongan penuh kepada semua parti-parti gabungan bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk mentadbir negara, semua pihak harus mengetepikan perbalahan lalu selain bersatu hati menerajui negara.

Menurutnya, ini bukanlah masanya lagi untuk sesama pemimpin gabungan itu ‘bersengketa’, sebaliknya tumpuan harus diberikan untuk menunaikan amanah rakyat.

“Kita tidak ada masa untuk berbalah. Sekarang masanya untuk fokus bekerja. Tugas DAP adalah memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukan sebaliknya.

“Sebab itu saya pernah katakan dalam sidang media sebelum ini, bahawa UMNO wajib bantu DAP dan DAP wajib bantu UMNO supaya BN dan PH kukuh. Mungkin perlu adanya nama gabungan baharu, Barisan Harapan,” katanya dengan nada berseloroh pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Teluk Wanjah pada Sabtu.

Kor Ming yang juga Ketua Whip DAP di Parlimen meminta ahli DAP di semua peringkat tidak lagi mengungkit kisah silam untuk dijadikan modal politik terutama sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita harus ‘move on’, lupakan sengketa masa silam. Negara perlukan pemimpin daripada kerajaan yang bersatu hati, senada, sehati sejiwa untuk sama-sama perkukuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini untuk kebaikan semua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.

Bekas Setiausaha Publisiti DAP itu juga meminta PH untuk tidak membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu.