Kereta terbalik: Pemandu maut, lima penumpang selamat

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbalik selepas terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori di Kilometer
45, Jalan Pekan-Salong pada Sabtu.
Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbalik selepas terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori di Kilometer 45, Jalan Pekan-Salong pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Seorang pemandu maut manakala lima penumpang termasuk empat kanak-kanak selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 45, Jalan Pekan-Salong di sini pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 10.05 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Iswara, Noorain Moktar, 35, beralamat dari Kampung Alor Ara di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, tiga penumpang kanak-kanak berusia satu hingga 11 tahun cedera di muka manakala dua lagi penumpang berusia lima dan 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama penumpang dalam perjalanan dari arah Felda Chini, Pekan menghala ke Gambang, Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah lori dari arah bertentangan yang hampir memasuki laluannya.

"Akibat kejadian itu, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.