PRN: Kemenangan PN mampu ubah landskap politik negara

Ahmad Yusuf ketika berucap pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Ideal Convention Centre di Seksyen 15, Shah Alam pada Sabtu.
Ahmad Yusuf ketika berucap pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Ideal Convention Centre di Seksyen 15, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di Selangor dan negeri-negeri lain pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dilihat berupaya mengubah landskap politik negara.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yusuf Hairi berkata, calon PN di negeri itu akan bertanding kesemua 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

"Menang PN di negeri Selangor, landskap politik di peringkat pusat akan berubah dan saya kira kerusi-kerusi politik, kerusi-kerusi kerajaan di negeri-negeri juga berubah, insya-ALLAH," katanya pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Ideal Convention Centre di Seksyen 15 di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut mengenai PRN di Selangor, beliau memaklumkan kesemua kerusi pada PRN berkenaan akan ditandingi calon-calon daripada gabungan parti terlibat dengan menggunakan logo PN.

"Seluruh kerusi di negeri Selangor kita akan letakkan calon kita, seluruh calon kita adalah calon PN dan insya-ALLAH kita akan menang sebagai PN dan kerajaan PN," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Kedah kekal menggunakan logo perikatan berkenaan pada PRN akan datang, sama sebagaimana ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pada Mei lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, dua negeri lagi iaitu Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo Pas pada PRN nanti.