PH tak tuntut jawatan Exco Johor

Salahuddin (tiga, kiri), bersama dua penerima anugerah Guru Cemerlang, pada program berkenaan.
Salahuddin (tiga, kiri), bersama dua penerima anugerah Guru Cemerlang, pada program berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Kita tak tuntut kerana yakin dengan kepimpinan dan kestabilan politik di Johor,"

Itu reaksi Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi mengulas isu berhubung jawatan exco kerajaan negeri ketika ini yang dilihat tidak melibatkan wakil daripada PH.

Menurut Salahuddin, pihaknya yakin dengan kepimpinan dan kestabilan politik yang dicapai Johor ketika ini di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Bagaimanapun katanya, rundingan akan dibuat melibatkan agihan jawatan di peringkat akar umbi negeri agar ia turut melibatkan wakil daripada PH.

"Setakat ini, PH Johor tidak mendesak apa-apa sebab kita lihat kestabilan politik di Johor adalah lebih penting dan malah kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat telah menyebabkan peranan Ketua Pembangkang diubah kepada Ketua Pengimbang.

"Walaupun kita (PH) bukan sebahagian daripada kerajaan Johor, namun banyak program libat urus boleh diadakan secara bersama dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi," katanya pada sidang media setelah menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, pada Sabtu.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas khabar angin mengenai rombakan yang bakal berlaku dalam barisan exco kerajaan negeri Johor yang menyaksikan beberapa nama digugurkan dan digantikan dengan individu lain.

Antara calon-calon yang disebut akan mengisi kekosongan jawatan exco berkenaan termasuklah ADUN daripada PH bagi menggambarkan konsep Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN ketika ini.

Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, langkah itu bagi memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH diberi peluang untuk terlibat dalam pembangunan negeri ini.

"Oleh itu, kita tidak menuntut apa-apa kedudukan khususnya jawatan exco kerajaan negeri," katanya.