SKMM perlu lebih tegas tangani isu fitnah di media sosial

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kelantan pada Sabtu. - Foto Bernama.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kelantan pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu lebih tegas terhadap tindakan platform media sosial bagi mengelakkan lebih banyak fitnah melalui media berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, banyak maklumat diterima mengenai perkara yang boleh membina persepsi buruk terutama melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Menurut beliau, fitnah bukan sahaja ketika pilihan raya negeri (PRN) malah di luar PRN juga banyak berlaku tohmahan.

"Kita sudah mengadakan pertemuan bersama pengurusan TikTok pada hujung 2022 dan 2023 dan alhamdulillah mendapat perkembangan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Komuniti Madani di sini pada Sabtu.

Fahmi menjelaskan, antara tugas dan fungsi Komuniti Madani ialah untuk mengenal pasti lokasi yang menghadapi masalah internet.

Katanya, mereka akan bekerjasama dengan SKMM dan memberi laporan kepada pihak terbabit supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Selain itu Fahmi memberitahu, turut mengadakan pertemuan dengan pihak Telegram selain ada keperluan bertemu pengurusan Meta.

"Kerjasama baik dengan SKMM, polis dan penyedia platform perkhidmatan media sosial ini amat penting bukan hanya untuk mengelak sebarang bahan-bahan 3R tetapi bagi memastikan platform terbabit tidak disalah guna oleh penjenayah," katanya.

Beliau turut memberi contoh ada platform media disalah guna oleh scammer untuk mencuri sebanyak RM45 juta wang rakyat Malaysia sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

Fahmi pada masa sama memberitahu, perlu kepada pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia supaya SKMM mempunyai kuasa yang lebih untuk isu berkenaan.

Pada sidang akhbar sama, Fahmi memberitahu, beliau sudah meminta SKMM meneliti bagi memastikan semua kawasan terlibat menerima capaian internet.

"Ketika ini kita belum ada senarai lokasi pusat penamaan calon atau penjumlahan undi tetapi kita sudah bersedia," katanya.