Kelibat Benitez kembali di Sepanyol

Benitez
Benitez
A
A
A

RAFA Benitez telah mencapai persetujuan dengan kelab LaLiga, Real Club Celta de Vigo (Celta Vigo) untuk mengurus Os Celestes dengan kontrak tiga tahun, kata kelab Sepanyol itu.

Pengendali berusia 63 tahun itu, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Liverpool pada 2005, Piala UEFA bersama Valencia (2004) dan Liga Europa bersama Chelsea (2013), kembali melatih lebih setahun selepas dipecat kelab Liga Perdana Inggeri, Everton pada Januari 2022.

Dia akan mengendalikan Celta pada ulang tahun ke-100 kelab itu, menggantikan Carlos Carvalhal, yang telah dipecat awal bulan ini selepas mengharungi musim sukar yang menyaksikan Os Celestes bergelut sehingga perlawanan terakhir untuk mengelak penyingkiran.

Sebagai rekod, pengalaman terakhir Benitez di Sepanyol adalah pada musim 2015-16 bersama Real Madrid, apabila dia menggantikan Carlo Ancelotti.

Namun kemudiannya dipecat enam bulan selepas beberapa siri keputusan buruk, digantikan oleh Zinedine Zidane pada Januari 2016.

“Rafa Benitez adalah antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak Sepanyol dan pernah melatih pasukan bertaraf dunia dalam liga utama Eropah.

"Dalam musim centenary Celta, acara yang tidak dapat dilupakan untuk peminat Celta, kami akan mempunyai seorang pemimpin yang hebat dari bangku simpanan," kata Celta.