Wujud garis panduan jelas isu elaun pelatih - KJ

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan perlu ada suatu garis panduan jelas mengenai hak bagi pelatih industri dan majikan berhubung dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Menurutnya, apabila undang-undang dan peraturan mengenai isu berkenaan samar maka eksploitasi terhadap perkara sedemikian boleh berlaku.

"Perkara ini perlu dari segi keadilan untuk pelatih dan juga majikan. Bila keadaan itu samar di mana tak ada garis panduan, undang-undang dan peraturan maka ada risiko majikan ambil kesempatan dengan menggunakan pelatih untuk melakukan kerja melebihi apa diharapkan pelajar itu sendiri.

"Mereka menjadi buruh percuma sebab tak ada perjanjian, undang-undang dan garis panduan. Tujuan latihan industri sebenarnya nak beri pengalaman pada pekerja muda bukan gunakan mereka sebagai buruh percuma atau kos rendah.

"Jadi kita perlu ada satu garis panduan jelas agar kedua-kedua pekerja pelatih dan majikan tahu apa hak mereka selain apa mereka perlu dibayar serta manfaat perlu diberi pada majikan," katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.

Pada 18 Jun lepas, kerajaan akan meneliti isu elaun untuk mahasiswa yang menjalani latihan industri atau 'intern' supaya mendapat pertimbangan sewajarnya.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan 'intern' tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, perkara kedua adalah peraturan berkenaan mesti dibangunkan supaya ia mengekalkan semangat pertama 'internship' iaitu memberi pengalaman.

"Kalau peraturan dan undang-undang itu seolah-olah menganggap pelatih industri itu pekerja tetap atau pelatih itu sendiri harap bahawa mereka sebagai pekerja tetap dan mereka demand' sebagai pekerja tetap maka bagi saya ia adalah tidak patut berlaku.

"Ya... memang pelatih menyumbang pada syarikat dan organisasi tetapi mungkin organisasi lebih menyumbang pada pelatih tersebut sebab pelatih itu baharu sahaja sama ada mereka masih di IPT atau baru keluar dari IPT.

"Sebenarnya nilai tambah itu lebih dari majikan dan organisasi kepada pelatih. Jadi harapan pelatih itu kena realistik dan jangan ingat bahawa mereka adalah pekerja tetap," ulasnya.