Israel bunuh 42 kanak-kanak di Palestin pada 2022 - PBB

Seorang ibu meratapi kematian anaknya berusia tiga tahun yang ditembak mati oleh tentera Israel di Tebing Barat. - AFP
Seorang ibu meratapi kematian anaknya berusia tiga tahun yang ditembak mati oleh tentera Israel di Tebing Barat. - AFP
A
A
A

NEW YORK - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa tentera Israel membunuh 42 kanak-kanak Palestin pada 2022, kebanyakannya ditembak menggunakan peluru hidup, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan dalaman pada Khamis.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata beliau "sangat gusar" bukan sahaja dengan bilangan kanak-kanak yang "dibunuh dan cacat" tetapi juga dengan jumlah mereka yang ditahan oleh tentera Israel.

Bilangan kanak-kanak yang cacat di wilayah itu ialah sekitar 524 rakyat Palestin dan tujuh warga Israel setakat tahun lalu.

Bagaimanapun, PBB tidak menyenaraikan tentera Israel dalam organisasi yang melakukan kesalahan serius terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

Menurut dakwaan diplomat, Amerika Syarikat telah memberi tekanan kepada organisasi antarabangsa itu untuk memastikan penilaian laporan PBB sesederhana mungkin.

Isu keselamatan di Tebing Barat dan wilayah Palestin telah meruncing sejak sekian lama.

Israel mengambil alih Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur semasa Perang Enam Hari pada 1967. Palestin menuntut wilayah itu untuk pembentukan negaranya. - Bernama