KPKT peruntuk RM211.4 juta kepada Pulau Pinang

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Bandaran Pulau Pinang pada Jumaat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Bandaran Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat memperuntukkan sebanyak RM211.4 juta kepada Pulau Pinang menerusi ‘Program Sentuhan Kasih KPKT’ bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR), projek penyelenggaraan dan naik taraf projek di bawah Majlis Bandaraya.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, tiada negeri akan di anak tirikan dan KPKT akan sentiasa berkhidmat untuk membela nasib semua rakyat.

Beliau berkata, jumlah berkenaan merupakan peruntukan paling besar pernah diberikan kepada Pulau Pinang yang akan melibatkan 41 projek di bahagian pulau dan Seberang Perai.

"Kerajaan Malaysia Madani akan bersikap adil, arif dan saksama kepada semua kerana kita sayang semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Pada masa yang sama, saya akan pastikan semua peruntukan yang diumumkan, akan dilaksanakan dengan secara berkesan," katanya kepada pemberita selepas program Sentuhan Kasih KPKT di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Kor Ming yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo turut melawat PPR Kota Giam dan Astaka Taman Tun Sardon di daerah Timur Laut.

Kor Ming berkata, daripada jumlah peruntukan yang diumumkan, sebanyak RM200 juta akan disalurkan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk pembinaan PPR manakala RM9.62 juta bagi penyelenggaraan di bawah tabung Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

"Sebelum ini, Pulau Pinang hanya dapat empat projek PPR dengan jumlah hanya 999 unit tetapi kini kita memperuntukkan jumlah RM200 juta untuk bina tambahan 1,000 unit di bahagian pulau dan Seberang Perai, demi kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Jelasnya, kos pembinaan satu unit rumah PPR dianggarkan bernilai RM250,000 tetapi kerajaan hanya menjual kepada rakyat pada harga RM45,000 seunit, subsidi sebanyak lebih RM200,000 satu unit.

Sementara itu, Jagdeep Singh berkata, lokasi yang dikenal pasti untuk pembinaan rumah PPR adalah di daerah timur laut di bahagian pulau dan Seberang Perai Utara.

Beliau berkata, memandangkan peruntukan telah ada, semua pelan projek akan dimohon melalui Majlis Bandaraya untuk kelulusan sebelum pembinaan dapat dilakukan di lokasi tersebut.

"Projek PPR akan diberi keutamaan oleh pihak Majlis Bandaraya dan berharap kelulusan akan diterima pada hujung tahun ini dan pembinaan dapat dimulakan pada tahun depan," katanya. - Bernama.