PRN medan terbaik rakyat tuntut perubahan - Pas Selangor

Roslan
Roslan
A
A
A

SHAH ALAM – Pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini akan menjadi medan rakyat menilai dan membuat keputusan terbaik sama ada mahu gabungan parti sama dalam kerajaan pusat memerintah atau sebaliknya.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berpandangan, dengan memberi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang bermakna rela dan bersetuju dengan kegagalan serta kelemahan mereka di peringkat persekutuan.

Menurutnya, inilah peluang terbaik bagi rakyat khususnya di enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu untuk menilai dan membuat keputusan terbaik.

“Dalam keadaan kerajaan persekutuan gagal memberikan penyelesaian terbaik buat rakyat walau enam bulan telah berlalu sejak mereka membentuk kerajaan.

"Rakyat di enam buah negeri ini perlu membuat keputusan adakah sesuai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri datang dari gabungan parti yang sama atau dalam keadaan sekarang ini lebih sesuai ia dari gabungan parti yang berbeza agar wujud semak dan imbang.

“Biar enam buah kerajaan negeri ini memantau perjalanan kerajaan persekutuan agar mereka kembali memberi tumpuan pada pembangunan rakyat dan negara, atau jika gagal juga memberikan isyarat pada rakyat untuk menggantikan mereka,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Roslan Shahir berkata, rakyat dapat melihat sendiri beberapa indikator ekonomi termasuk prestasi saham dan kejatuhan ringgit yang memberi isyarat betapa gagal dan lemahnya kerajaan pada hari ini.

"Ini belum ditambah dengan harga barangan domestik yang mencanak naik termasuk bahan-bahan makanan, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan ayam," katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa harus rakyat lakukan dalam berhadapan dengan kerajaan yang lemah dan gagal seumpama ini.

“Inilah masanya untuk kita wujudkan semak dan imbang, kerajaan persekutuan perlu dipantau oleh kerajaan negeri yang cergas dan bertenaga yang didukung rakyat.

“Lantas PRN ke-15 untuk enam buah negeri ini adalah platform yang terbaik untuk rakyat mengambil inisiatif menuntut perubahan menurut lunas demokrasi.

“Pastikan PH-BN yang gagal di peringkat persekutuan ini tidak diberi kuasa di mana-mana enam negeri yang akan mengadakan PRN,” katanya.