Suri rumah antara 20 individu didenda main judi belangkas

Kesemua tertuduh sedang menanti untuk menjalani perbicaraan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Kesemua tertuduh sedang menanti untuk menjalani perbicaraan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Warga emas dan suri rumah antara 20 individu yang didakwa atas pertuduhan bermain judi belangkas dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Titi Akar, Pendang minggu lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 78 tahun itu bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.

10 tertuduh pertama dikenali sebagai Wone See Muah, 53; Thian Din Chok, 59; Ahmad Zuraidi Mohd Noor, 47; Bon Rit Bon Nan, 18; Ai Piang Fo Chirat, 42; Hanafi Hamid, 45; Ilyas Ayob, 44; Ishak Md Daud, 66; Mustafa Kassim, 63 dan Sazali Osman, 66.

10 tertuduh lain adalah Isa Ating, 78; Khamron Tong Kiw, 43; Mohd. Nasrol Sulaiman, 50; Hoay Seng Chai, 68; Azlan Aziz, 49; Nang Kan Yap Chuan, 60; Malai Dang, 45; Marjuri Nukian, 38; Chem See Wan, 37 dan Meu Siew, 66.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit kira-kira jam 7.15 petang pada 14 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan sementara tertuduh kedua, Thian Din Chok diwakili peguam, Bun Liang.

Lain-lain tertuduh diwakili empat peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd Noor, Ummi Kalthum Zakaria, Siti Hajar Abdullah dan Zuriyah Mhd Nordin.

Setelah mengambil kira segala aspek dari pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah kemudiannya memutuskan agar tertuduh pertama Wone See Muah didenda RM4,000 serta dipenjara enam bulan jika gagal melunaskan denda berkenaan, memandangkan dia memiliki rekod lampau berkaitan kes di bawah seksyen sama.

Bagi sembilan tertuduh lain iaitu Din Chok, Ishak, Mustafa, Sazali, Isa, Seng Chai, Yap Chuan, Meu Siew, dan Bon Rit mahkamah menetapkan hukuman denda RM1,500 serta tiga bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda.

10 lagi tertuduh didenda sebanyak RM2,000 dengan mereka diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama empat bulan jika gagal menyelesaikan bayaran.

Kesemua tertuduh difahamkan membayar denda ditetapkan itu.