Pelajar tahfiz dikhuatiri hilang dalam kebun getah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Seorang pelajar tahfiz dilaporkan hilang dalam kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah di sini, pada Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, yang dipercayai mengalami gangguan emosi kali terakhir dilihat menunggang motosikal di Kampung Ulu Kenderong di sini, sekitar jam 9 pagi.

Pencarian yang dilakukan ahli keluarga berjaya menemukan motosikal mangsa yang ditinggalkan di kebun getah berkenaan sekitar jam 6 petang sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal diterima sekitar jam 1.33 pagi pada Khamis dan pos kawalan bomba telah dibuka di tempat kejadian.

"Operasi ditangguhkan sehingga pagi ini berikutan keadaan yang gelap dan sempit selain tiada liputan Government Integrated Radio Network (GIRN).

"Unit Anjing Pengesan (K9) bersama Pasukan Multi Skill (MUST) telah tiba di lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, fokus pencarian melibatkan kawasan seluas dua kilometer dari lokasi terakhir motosikal mangsa ditemui.