'Sepanyol tak mesra pendatang'

Polis anti rusuhan mengepung kawasan di Melilla selepas ratusan pendatang cuba memasuki Sepanyol secara haram pada tahun lalu.
Polis anti rusuhan mengepung kawasan di Melilla selepas ratusan pendatang cuba memasuki Sepanyol secara haram pada tahun lalu.
A
A
A

MADRID - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sepanyol mendakwa negara itu mencatatkan rekod tertinggi jumlah permohonan status pelarian dan perlindungan daripada warga asing sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Pelarian Sepanyol (CEAR), pentadbiran Perdana Menteri, Pedro Sanchez menolak lebih separuh daripada permohonan tersebut berbanding negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang lain.

Dakwaan CEAR itu berdasarkan laporan tahunan terbaharunya yang menganalisis tindak balas Madrid terhadap peningkatan permohonan status pelarian dan perlindungan susulan pemindahan paksa berjuta-juta orang akibat pencerobohan Rusia di Ukraine selain konflik di Afrika serta krisis politik di Amerika Latin.

Berdasarkan laporan itu, Sepanyol menerima 118,842 permohonan status pelarian pada 2022 iaitu angka tertinggi pernah dicatatkan dan ketiga tertinggi dalam kalangan negara EU.

Namun, hanya 16.5 peratus daripada permohonan tersebut diluluskan berbanding purata yang ditetapkan bagi setiap negara anggota EU iaitu sebanyak 38.5 peratus.

“Sekali lagi kami menuntut undang-undang dihormati untuk menawarkan perlindungan atas nama hak asasi manusia.

“Penolakan lebih separuh permohonan untuk status pelarian menunjukkan Sepanyol tidak mesra pendatang,” kata penyelaras undang-undang CEAR, Elana Munoz.

Munoz turut mengkritik kekurangan akses dan laluan selamat kepada pencari suaka sambil merujuk kematian 37 pendatang yang dikurung berhampiran kawasan sempadan memisahkan Sepanyol dan Afrika Utara pada musim panas lalu.

Jelas Munoz, tragedi itu melibatkan pasukan keselamatan Sepanyol serta Maghribi dan kini menjadi subjek aduan undang-undang yang difailkan oleh beberapa kumpulan hak asasi migran selepas pendakwa raya Sepanyol menangguhkan siasatan tahun lalu.

Sepanyol menerima 20 peratus daripada semua ketibaan tidak tetap ke EU tahun lalu, sebahagian besarnya dengan bot.

Tetapi kadar penerimaan suaka, status pelarian dan bentuk perlindungan lain sangat berbeza bergantung kepada kewarganegaraan.

Laporan CEAR menyatakan bahawa 95 peratus rakyat Colombia dan 96 peratus rakyat Peru telah ditolak oleh Sepanyol daripada mengakses sebarang bentuk perlindungan antarabangsa pada 2022. - Agensi