PRN: Bertandinglah secara anak jantan - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Semua parti politik diminta mengamalkan sepenuhnya amalan demokrasi sepanjang tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari pengundian sehingga pembentukan kerajaan selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua parti yang bertanding PRN termasuk Perikatan Nasional (PN) harus menggunakan kekuatan sendiri tanpa perlu menyalahgunakan aset kerajaan.

Menurutnya, tidak sewajarnya mana-mana pihak menggunakan aset kerajaan ketika turun berkempen.

“Saya harap proses demokrasi berjalan dengan betul. Jangan guna harta atau dana kerajaan untuk kempen. Jangan guna agensi atau jabatan kerajaan ketika turun berkempen,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, setiap parti memiliki kapasiti masing-masing dan seharusnya menggunakan kekuatan itu untuk menawan pengundi.

“Kempen atas kekuatan dan kapasiti parti masing-masing. Bertandinglah secara anak jantan. Jangan cakap lain, buat lain,” katanya.

Menurutnya lagi, Penasihat Undang-Undang Negeri akan menggariskan perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang tempoh kerajaan sementara atau ‘caretaker government’.

“Kita akan arah semua Exco pulangkan kenderaan rasmi masing-masing. Kita mahu sepanjang mereka berkempen, tak guna harta kerajaan. Saya harap parti-parti lain guna kaedah sama,” ujarnya.

Muhammad Sanusi dijadual mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun ini untuk mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN Kedah, iaitu pada 28 Jun ini.

Beliau turut mengingatkan agar tidak melangkaui kuasa Sultan Kedah dan semua perkara berkaitan hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Sallehuddin.

“Selepas diperkenankan Sultan, baru boleh umum. Saya pun tak boleh namakan siapa Exco, orang lain pun tak boleh namakan saya sebagai Menteri Besar atau poster boy, kalau di umum awal, tetapi Sultan tak beri perkenan, macam mana?

“Berilah ruang dan kuasa tersebut ada pada pihak lain. Kita pandai-pandai cakap siapa poster boy sedangkan ia bidang kuasa pihak lain, jangan kita langgar,” jelasnya.