Arif Aiman selesa merendah diri

Arif Aiman (kanan) meraikan jaringan bersama Faisal ketika membantu Malaysia menewaskan Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Kuala Terengganu pada Selasa. - Foto Bernama
Arif Aiman (kanan) meraikan jaringan bersama Faisal ketika membantu Malaysia menewaskan Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Kuala Terengganu pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BINTANG sensasi, Arif Aiman Hanapi selesa merendah diri apabila memberi kredit kepada rakan sepasukan biarpun meledak empat gol ketika membantu Harimau Malaya membenam Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Kuala Terengganu pada malam Selasa.

Pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bangga, namun tanpa berselindung mengakui masih banyak yang perlu dipelajari memandangkan perjalanannya masih jauh.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya bangga tapi bukan sebab empat gol, tapi kerana rakan sepasukan bantu saya untuk jaringkan gol pada malam ini (Selasa).

“Namun bagi saya tidak ada sebab untuk berpuas hati dalam penampilan pada kali ini, perjalanan masih jauh dan berliku. Saya cuma berikan terbaik dan bukan senang membarisi kesebelasan utama pasukan lagipun ramai pemain senior, tapi ia bagus sebagai persaingan,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Pemain kelahiran Pahang itu tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringannya apabila dimasukkan pada separuh masa kedua apabila meledak pada minit ke-57′, 60, 87 dan 89.

Enam gol lagi hasil sumbangan Faisal Halim, Danial Ting, Safawi Rasid dan hatrik Paulo Josue.

Arif juga mengakui pasukan bergelut pada separuh masa pertama kerana hanya menjaringkan satu gol, namun kata-kata semangat daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon membuatkan mereka lebih bersemangat apabila masuk separuh masa kedua.

“Semua tahu separuh masa pertama memang kita bergelut sikit tapi coach sentiasa memberi semangat kerana kita berjaya cipta banyak peluang pada separuh masa pertama tapi tiada rezeki untuk gol.

“Pada separuh masa kedua selepas saya, Faisal dan rakan lain masuk fokus kami adalah untuk menghasilkan gol dan ia berjaya,” katanya.

Di sebalik dua kemenangan selepas menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 sebelum ini dan ketika menentang Papua New Guinea, Arif berkata mereka tidak boleh berasa berpuas hati.

Ini kerana katanya, perlawanan-perlawanan yang dihadapi itu adalah sebagai persiapan skuad Harimau Malaya untuk ke Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

“Tiada sebab untuk saya berpuas hati kerana ini adalah persiapan kami ke Piala Asia dan persediaan ini amat penting untuk pemain dan pasukan Harimau Malaya,” kata pemain berusia 21 tahun itu.