Cuaca panas: 296 kebakaran terbuka di Perak dalam sebulan

Sayani membuat pemeriksaan perbarisan kawalan suku sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Tanda Pangkat kepada 24 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Perak pada Rabu.
Sayani membuat pemeriksaan perbarisan kawalan suku sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Tanda Pangkat kepada 24 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 296 kes kebakaran terbuka direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hanya dalam tempoh satu bulan sejak Mei lalu, berikutan cuaca panas melanda negara.

Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon berkata, daripada jumlah itu, kebakaran belukar dan lalang merekodkan 223 kes, kebakaran sampah (50), hutan (14) dan kebun serta ladang (9).

Menurutnya, laporan tertinggi setakat ini diterima Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dengan 28 kes diikuti Balai Sitiawan (26) dan Seri Manjung (24).

"Ipoh, Sitiawan, Pasir Puteh, Meru, Simpang Pulai dan Gunung Semanggol, ini antara lokasi panas yang dikenal pasti berisiko berlakunya kebakaran.

"Lokasi ini mempunyai banyak kawasan belukar yang menyebabkan mudah terbakar," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Tanda Pangkat kepada 24 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Rabu.

Beliau mengingatkan orang ramai terutama pekebun untuk tidak melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pembersihan kawasan.

"Tindakan sedemikian ditambah dengan cuaca begini (panas) sangat berisiko.menyebabkan kebakaran besar dan merebak lebih cepat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha inap desa bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung di kawasan tumpuan.

Katanya, pengusaha di kawasan melibatkan sungai dan lubuk perlu diberikan tanggungjawab agar dapat beri peringatan kepada orang ramai akan bahaya yng ada di persekitaran.

"Bukannya kita nak menakutkan pengunjung, langkah ini bagi membolehkan mereka sama-sama menjaga keselamatan diri dan anak-anak," katanya.