Jenazah Rohana Jalil selamat dikebumikan

Lebih 300 ahli keluarga dan sahabat handai hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Lebih 300 ahli keluarga dan sahabat handai hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.
A
A
A

SUBANG JAYA - Jenazah penyanyi Allahyarham Rohana Jalil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sini sekitar jam 11.45 pagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang merupakan penyanyi popular era 1980-an itu disembahyangkan di Masjid Al-Falah USJ9, di sini.

Lebih 300 ahli keluarga dan sahabat handai hadir pada majlis pengebumian untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Antara rakan artis yang hadir ialah Azizul Khamis, Ramlah Ram, Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim, Herman Tino, Noraniza Idris, Izara Aishah, Tya Arifin, Fasha Sandha, Joe Flizzow, Norshila Amin dan Haiza.

Terdahulu, Allahyarham Rohana dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lalu akibat kebocoran usus.

Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.33 malam tadi.

Anaknya, Syakila Nisha atau lebih dikenali sebagai Kilafairy, 31, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat arwah ibunya.

Fahmi ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Rohana Jalil

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas penyanyi terkenal tanah air, Rohana Jalil yang meninggal dunia pada Selasa.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Sedih mendengar berita kehilangan penyanyi terkenal tanah air, Rohana Jalil. Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Allahyarham Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil terkenal dengan lagu Rayuanku dan Jangan Main Mata dan Naluri Cinta, dilahirkan pada 18 Februari 1955 di Kota Tinggi, Johor dan mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian tanahair, Allahyarham telah merakamkan lebih 20 album.