[VIDEO] Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Haji Perdana

Dr Mohd Na'im diberi penerangan mengenai projek pembangunan di Arab Saudi.
Dr Mohd Na'im diberi penerangan mengenai projek pembangunan di Arab Saudi.
A
A
A

JEDDAH - Simposium Haji Perdana di Arab Saudi yang membincangkan semua perkara berkaitan haji dan umrah dicadangkan untuk diadakan di Malaysia pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, dengan penganjuran di Malaysia, ia akan dapat membantu negara ASEAN lain untuk mengambil bahagian selain tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk ke Arab Saudi.

Beliau berpandangan, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah tidak mempunyai halangan untuk membincangkan cadangan berkenaan disebabkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

"Kita ada ramai pensyarah universiti yang menulis mengenai haji dan umrah dan saya rasa kalau kita buat simposium di Malaysia, kita boleh cungkil lagi bakat baharu untuk memberikan idea-idea terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Haji Perdana kali ke-47 di sini pada Selasa.

Dr Mohd Na'im (tiga dari kanan) mendengar taklimat mengenai kawalan keselamatan untuk jemaah di Tanah Suci.
Dr Mohd Na'im (tiga dari kanan) mendengar taklimat mengenai kawalan keselamatan untuk jemaah di Tanah Suci.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Simposium sehari itu menghimpunkan para cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengurusan ibadah haji.

Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais dan Dr Tawfiq turut serta sebagai panel bagi mengupas mengenai perkhidmatan menyeluruh disediakan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan ibadah di Tanah Suci.

Mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam simposium itu, Dr Mohd Na'im berkata, ia penting bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada kerajaan Arab Saudi mengenai usaha yang diperkenalkan negara itu untuk kemudahan bakal haji.

Antara ruang pameran yang mendapat perhatian delegasi yang menyertai Simposium Haji Perdana kali ini.
Antara ruang pameran yang mendapat perhatian delegasi yang menyertai Simposium Haji Perdana kali ini.

"Tema pada tahun ini ialah berkisar mengenai khidmat memudahkan jemaah beribadah di Tanah Suci apabila 40 agensi bekerjasama bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kerajaan Arab Saudi.

"Mereka menyelaras agensi-agensi bermula dari proses di setiap negara, berada di Tanah Suci kemudian balik ke negara masing-masing selamat dari segi keselamatan dan kesihatan," katanya.