Di mana posisi Muda dalam PRN?

Posisi Muda dalam soal pembahagian kerusi sempena PRN itu dilihat seolah-olah masih belum perlihatkan tanda-tanda positif.
Posisi Muda dalam soal pembahagian kerusi sempena PRN itu dilihat seolah-olah masih belum perlihatkan tanda-tanda positif.
A
A
A

SHAH ALAM - Debaran ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk enam negeri dilihat semakin hampir memandangkan setiap jentera parti telah membuat persediaan bagi bertembung di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, posisi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam soal pembahagian kerusi sempena PRN itu dilihat seolah-olah masih belum memperlihatkan tanda-tanda positif.

Ini kerana Ketua Penerangan Muda, Luqman Long mendedahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang rundingan dibuat antara Muda dan Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama strategik serta jumlah agihan kerusi untuk ditandingi oleh Muda.

Beliau menegaskan, sebarang keputusan atau perkara berkaitan PRN hanya diumumkan oleh Muda dan bukannya pemimpin PH.

Perkara itu dimaklumkan susulan hantaran Facebook PKR yang memetik Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berkata “Muda akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRN”.

Menurut Amiruddin, kerjasama itu selaras dengan persefahaman yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu.

Bagaimanapun, isu itu dibalas pula Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis apabila beliau memaklumkan bahawa tiada kenyataan daripada Amirudin yang mengulas mengenai perkara tersebut.

Jelas beliau, sebaliknya apa yang dinyatakan Amirudin itu adalah mengenai pendirian dan komitmen PKR yang menganggap Muda sebagai rakan kerja susulan kerjasama dalam PRU15 lalu.

Pada 10 September 2022, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan Majlis Presiden PH telah menerima permohonan daripada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk Muda menyertai PH secara rasmi.

Namun begitu, PH belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan tersebut.

Sekiranya rundingan antara PH-Muda masih belum berlaku, adakah ini bermakna Muda akan bersendirian dalam medan PRN akan datang?

Dalam keadaan bahang PRN untuk enam negeri itu sudah semakin panas menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)b yang berbaki kurang daripada 10 hari lagi, Muda perlu bergerak pantas dalam soal ini.

Dari segi agihan kerusi gabungan PH dan Barisan Nasional (BN), Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Selasa juga telah memberi ‘hint’ bahawa rundingan tersebut sudah hampir 95 peratus selesai.

Jangan pula dalam situasi semua parti dalam keadaan siap siaga, ada pula yang tergelincir dari landasan PRN yang bakal berlaku tidak lama lagi.