Afi Danial, UPNM juara edisi sulung LTdlPT 2023

Khaled (empat dari kiri) bersama juara keseluruhan LTdIPT 2023, UPNM pada majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Le Tour de IPT 2023 di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi pada Selasa. - Foto: Bernama
Khaled (empat dari kiri) bersama juara keseluruhan LTdIPT 2023, UPNM pada majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Le Tour de IPT 2023 di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

PELUMBA Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar muncul juara edisi sulung Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 yang berakhir di Putrajaya pada Selasa.

Pecutan penuh bertenaga pada peringkat terakhir perlumbaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi ke Putrajaya sejauh 90.3km itu membabitkan seramai 51 pelumba.

Laluan perlumbaan membabitkan dua zon pecutan dan dua zon pendakian itu tidak menghalang Afi Danial untuk terus menguasai perlumbaan biarpun diberi saingan sengit hingga ke garisan penamat.

Pelumba harapan UPNM yang menguasai Jersi Kuning selaku pendahulu sejak peringkat pertama perlumbaan dari Kolej Komuniti Segamat ke UTeM, Melaka Sabtu lalu itu terpaksa berhempas pulas mengekalkan kayuhan bertenaga untuk muncul juara dengan masa 1 jam 53 minit 20 saat (s).

Pelumba dari Kota Tinggi, Johor itu turut merangkul tiga kejuaraan apabila dinobatkan selaku Juara Keseluruhan (Jersi Kuning), Raja Pecut (Jersi Hijau) dan Pelumba Terbaik Bawah 21 tahun (Jersi Putih).

“Sejujurnya pengalaman bersama skuad Sukma Terengganu sebelum ini banyak membantu meningkatkan prestasi saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, UPNM turut menyapu bersih semua gelaran termasuk Raja Bukit (Jersi Polka Dot) menerusi Ahmad Irfan Abdul Hamid.

Kehebatan gandingan tiga serangkai Afi Danial, Ahmad Irfan dan dibantu Muhammad Iqbal Imran membolehkan UPNM muncul juara keseluruhan LTdIPT 2023.

Tempat kedua menjadi milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) A, diikuti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketiga.

Sebagai rekod, perlumbaan jelajah berbasikal kali pertama anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ini berlangsung sebanyak empat peringkat perlumbaan sejauh 332.7 km.

Khaled (tengah) bersama para penerima Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet Sukan SEA 2023 sempena Pelancaran Program Semarak Siswa MADANI di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi pada Selasa.
Khaled (tengah) bersama para penerima Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet Sukan SEA 2023 sempena Pelancaran Program Semarak Siswa MADANI di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi pada Selasa.

“Alhamdulillah, impian untuk menganjurkan jelajah ini terlaksana dengan jayanya, banyak cabaran serta kerisauan, tetapi semangat pelumba-pelumba basikal di IPT amat mengagumkan.

“Suatu pencapaian yang luar biasa.” kata Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli, yang juga Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Induk LTdIPT 2023.

Sementara itu, Majlis Penutup dan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan disertakan dengan Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet IPT di Sukan SEA Kemboja 2023 yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sejumlah RM64,000 disumbangkan kepada 31 atlet institut pengajian tinggi (IPT) yang berjaya menyumbangkan 20 pingat emas pada kejohanan tersebut.

Penerima tertinggi Insentif Kecemerlangan Sukan SEA 2023 ialah Tan Cheong Min daripada Universiti Putra MaIaysia (UPM) bagi acara Nandao-Nangun Wanita dan Nanquan Wanita menerima insentif berjumlah RM4,000.

Pada masa masa beberapa orang atlet IPT yang memenangi emas di Sukan SEA 2023 bakal beraksi di Temasya Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2023 selama 12 hari di Chengdu, China pada 28 Julai 2023 hingga 8 Ogos 2023.

Antaranya atlet Khiew Hoe Yean (renang), Kimberly Bong (terjun), Andre Anura Anura (olahraga), Grace Wong Xiu Mei (olahraga), Umar Osman (olahraga), Muhammad Syafiq Zuber, Nurul Hidayah dan Jason Loo Jun Wei masing-masing dari acara taekwondo.