PRN Kelantan: Dewan Muslimat mahu ramai calon wanita

Sekurang-kurangnya di tiga kerusi DUN

Mumtaz (tiga dari kiri) bergambar bersama kumpulan penerima kerusi roda elektrik di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
Mumtaz (tiga dari kiri) bergambar bersama kumpulan penerima kerusi roda elektrik di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Muslimat Pas Kelantan mengharapkan lebih ramai wanita diberikan peluang sebagai calon sekurang-kurangnya di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, bagaimanapun perkara itu terserah kepada pucuk kepimpinan tertinggi di peringkat negeri dan pusat untuk membuat keputusan berdasarkan Majlis Syura Ulamak Pas.

Menurutnya, perkara itu juga perlu mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan daripada rakan-rakan parti gabungan dalam Perikatan Nasional.

“Setakat ini, Kelantan belum pernah tidak ada calon wanita dan kalau lebih banyak yang akan bertanding adalah lebih baik.

“Sekarang ini, ada dua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), dua Ahli Parlimen dan seorang senator. Kalau dapat ditambah menjadi tiga ADUN, itu satu pencapaian yang besar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dasar Anak Yatim Islah Kelantan dan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarrabun Kelantan di Kota Darulnaim pada Selasa.

Bagaimanapun, Mumtaz berkata, menetapkan calon di satu-satu kerusi pilihan raya bukan hal mudah, namun beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan pemilihan calon yang terbaik.

“Kesukaran juga dialami wanita yang perlu bersaing dengan ramai calon lelaki.

Mumtaz barisan depan (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada anak yatim OKU yang cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia 2022.
Mumtaz barisan depan (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada anak yatim OKU yang cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia 2022.

“Apa-apa pun, kami di peringkat jentera akan terus bekerja dan memberikan khidmat tanpa mengira sesiapa pun calonnya,” ujarnya.

PRN kali ini melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Kelantan akan membubarkan DUN pada 22 Jun ini, Selangor (23 Jun), Pulau Pinang dan Kedah (28 Jun) serta Negeri Sembilan (30 Jun) manakala Terengganu masih belum mengumumkan tarikhnya.