Malaysia terlepas peluang ekonomi Coldplay - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Malaysia terlepas peluang ekonomi yang boleh dihasilkan daripada penganjuran konsert kumpulan rock alternatif British, Coldplay.

Beliau berkata, Singapura meraih keuntungan besar apabila kumpulan itu memutuskan untuk membuat persembahan selama enam hari di negara berkenaan.

“Coldplay buat 'tour' enam hari di Singapura. Semalam lima hari, hari ini mereka tambah lagi satu tarikh. Malaysia pula nak buat satu konsert pun banyak halangan. Tetapi apa kena mengena konsert Coldplay di Singapura dengan Malaysia.

“Kita sebenarnya terlepas loteri ekonomi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Syed Saddiq mendakwa, Singapura bakal mengutip hasil jualan tiket sebanyak RM180 juta bagi konsert selama enam hari itu.

Ini kerana beliau berkata, Stadium Nasional Singapura boleh memuatkan 50,000 penonton dalam satu masa dan harga purata satu tiket sekitar RM600 dengan kutipan yang bakal dijana berjumlah RM30 juta sehari.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, Singapura juga bakal mendapat limpahan ekonomi ekoran peminat daripada luar negara akan mengembara dan berbelanja di negara itu sepanjang konsert Coldplay berlangsung.

“Datang jauh-jauh naik penerbangan, takkan pergi konsert untuk dua hingga tiga jam sahaja. Mesti ada makan-makan, jalan-jalan.

“Anggarkan seorang belanja RM500 untuk satu hari. (Seramai) 1,000 pelancong sama dengan RM500,000 dan enam hari sama dengan RM3 juta. Ini adalah jumlah yang sangat besar yang boleh dihasilkan.

“Maksud saya adalah, ketika kita bertengkar mengenai penganjuran konsert di Malaysia, negara luar merebut peluang keemasan untuk menjana lebihan ekonomi,” jelasnya,

Ahli Parlimen Muar itu berkata, Malaysia pernah menganjurkan sehingga 50 konsert setahun namun kini semakin banyak rintangan dan keluhan.

Justeru beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh berterusan terlepas peluang ekonomi yang boleh dijana hasil daripada penganjuran konsert.

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat Selangor sokong Coldplay kerana muzik, bukan gerakan 'pelangi' - MB

Mas kahwin tiket Coldplay tidak sah

Ada kemungkinan konsert Coldplay ditambah sehari lagi

Masih tiada aduan rasmi harga tiket Coldplay mahal - KPDN

Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink

Konsert sulung Coldplay di Kuala Lumpur 22 November 2023