Rakyat Selangor sokong Coldplay kerana muzik, bukan gerakan 'pelangi' - MB

Amirudin dalam satu video dimuat naik di akaun Twitter Kami Keadilan pada Isnin.
Amirudin dalam satu video dimuat naik di akaun Twitter Kami Keadilan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di Selangor yang menyokong konsert Coldplay bukan kerana mereka menyokong gerakan 'pelangi' sebaliknya cenderung dengan muzik disampaikan artis ternama antarabangsa itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rakyat di Selangor yang matang dan metropolitan sangat faham tentang budaya masyarakat di negara ini.

"Saya setuju dengar pandangan sesetengah pemimpin terutama KJ (Khairy Jamaluddin) dalam hal ini.

"Bagi yang minat (Coldplay), mungkin mesej yang ada dalam muzik silakan pergi untuk bersama-sama meraikan lagu dan irama Coldplay," katanya dalam satu video dimuat naik di akaun Twitter Kami Keadilan pada Isnin.

Tegas Amirudin, undang-undang sivil dan syariah di negeri ini memang tidak menerima budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Kepada penganjur saya minta nasihatkan kepada Coldplay dan juga artis lain yang ada elemen tersebut, jangan pamerkan ketika konsert di Malaysia," ujar beliau.

Kehadiran Coldplay di Malaysia menjadi kontroversi dan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik, namun tiket menyaksikan konsert itu habis terjual dalam tempoh beberapa jam dibuka.

Konsert Coldplay berjudul Music of Spheres World Tour akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula jam 8.30 malam, 22 November depan.

Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion turut mengadakan konsert jelajah di beberapa negara Asia antaranya Taiwan, Jepun, Australia dan Indonesia.