Mengamuk selepas pecah masuk tiga rumah

A
A

RAUB - Seorang ibu bersama anak perempuannya trauma apabila seorang lelaki menceroboh masuk dan mengamuk di dalam rumahnya di Taman Amalina Lestari di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa Norhazian Abdul Aziz, 45, sedang sedang menyapu di hadapan rumah manakala anak perempuannya berusia 20 tahun sedang tidur di dalam bilik.

Norhazian berkata, dia melihat lelaki terbabit melompat pagar rumah jiran dan sempat bertanya tujuannya bertindak sedemikian.

"Lelaki itu menyatakan ada orang di dalam dan dia terus meluru ke belakang rumah sebelum mengumpil jeriji tingkap jiran dan mengumpil jeriji tingkap belakang rumah saya.

"Saya berasa takut terus mengejutkan anak saya dan lari keluar rumah. Nasib baik saya tidak bekerja hari ini kalau tidak saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak perempuan saya," katanya.

Menurutnya, insiden itu amat menakutkan dia serta anaknya yang berlari keluar dalam keadaan terketar-ketar ke rumah jiran.

"Lelaki yang mengamuk di dalam rumah juga menyebabkan siling, kipas dan barang-barang lain rosak," katanya.

Sementara itu Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 39 tahun itu berjaya ditahan polis kira-kira jam 10 pagi.

"Suspek yang bersenjatakan parang mencabut jeriji tingkap dan mengumpil pintu tiga buah rumah di taman itu.

"Suspek tidak mencuri apa-apa barang berharga namun merosakkan barang di dalam rumah termasuk memecahkan siling, kipas dan kelengkapan rumah," katanya.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Kelantan itu berjaya ditangkap polis dan penduduk ketika melarikan diri ke dalam tandas sebuah kedai berhampiran.

"Dua anggota polis turut cedera dalam pergelutan semasa menahan suspek dan anggota terbabit menerima rawatan di hospital.

"Suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Kita masih giat melakukan siasatan termasuklah mengenal pasti motif tindakan yang dilakukan oleh suspek. Kita juga sedang mengesan rakan suspek yang menumpangkan suspek tinggal di rumahnya malam semalam," katanya.