Sokong pemberian elaun pelatih industri - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyokong 100 peratus cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya syarikat yang menawarkan latihan industri kepada mahasiswa mempertimbangkan elaun munasabah.

“Cadangan ini telah saya lontarkan di Dewan Rakyat ketika perbahasan pada 16 Februari 2023, malangnya pada masa itu tiada respons yang jelas daripada kementerian berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Jelas beliau, terdapat banyak isu yang mana warga siswa dieksploitasi bagi kepentingan perusahaan industri semasa menjalani latihan.

Justeru, ia memerlukan kepada dasar baharu yang mewajibkan pembayaran elaun agar setimpal dengan kerja mereka.

Baru-baru ini, Anwar ketika program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, bayaran yang terlalu rendah oleh majikan terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri disifatkan sebagai tidak munasabah.

Ujarnya, majikan seharusnya mempertimbangkan untuk membayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penglibatan banyak syarikat yang menyediakan latihan industri akan memberi manfaat yang lebih baik kepada anak-anak muda.