Azeem tak dapat sertai Universiade Chengdu

Azeem dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan pangkal paha kanan bulan lepas. -Foto: Agensi
Azeem dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan pangkal paha kanan bulan lepas. -Foto: Agensi
A
A
A

HASRAT Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menggunakan khidmat jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi, bagi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu di China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan, tidak kesampaian.

Ketua jawatankuasa persediaan atlet ke Universiade Chengdu, Datuk Dr Pekan Ramli mengesahkan, Muhammad Azeem tidak dapat bersaing di China kerana jurulatihnya Leroy Burrell, mahu memberi tumpuan terhadap proses pemulihan pelari pecut sensasi negara itu, susulan kecederaan pangkal paha kanan dialaminya bulan lepas.

Berdasarkan maklumat daripada Burrell, Pekan berkata, amat penting bagi atlet berpangkalan di Amerika Syarikat itu benar-benar fokus bagi memulihkan kecederaan dialaminya, dalam usaha memastikan Muhammad Azeem cergas bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary, pada 19 hingga 27 Ogos ini.

"Muhammad Azeem sebenarnya berpotensi menyumbang pingat buat negara sekiranya dapat beraksi di Universiade Chengdu.

"Namun, disebabkan kecederaan Muhammad Azeem, kami terpaksa ubah rancangan asal dan jurulatih Muhammad Azeem pula mahu pastikan beliau bersiap sedia dan fokus pada Kejohanan Olahraga Dunia," katanya.

Justeru, Pekan yang juga Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT berkata,pihaknya, akan mempertaruhkan Mohammad Thaqif Mohammad Hisham sebagai pengganti Muhammad Azeem di China.

Beliau berkata, Mohammad Thaqif mempunyai catatan peribadi terbaik 10.69 saat (s) yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Hong Kong hujung April lepas.

Universiade Chengdu yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 27 Ogos 2021, ditangguh pada tahun ini susulan wabak Covid-19.

Selain Kejohanan Olahraga Dunia, Muhammad Azeem yang merupakan pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09s, dijangka beraksi pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Pelajar Universiti Auburn, Alabama itu memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas sekali gus memadam catatan lama 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak. - Bernama