BN sasar bertanding 14 kerusi PRN Selangor

Lokman (lima dari kanan) melancarkan Jentera Kerajaan Perpaduan DUN Sungai Panjang di Parit 16 di Sabak Bernam pada Ahad malam.
Lokman (lima dari kanan) melancarkan Jentera Kerajaan Perpaduan DUN Sungai Panjang di Parit 16 di Sabak Bernam pada Ahad malam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang diadakan dalam waktu terdekat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, hasrat UMNO adalah untuk bertanding satu kerusi DUN bagi setiap Parlimen di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, sudah pasti kedudukan Pakatan Harapan (PH) kuat lebih-lebih lagi memenangi 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

"Jadi tinggal enam kerusi (Parlimen) sahaja... mereka (PH) tidak menang (pada PRU15 lalu), kalau kita hendak ambil (bertanding DUN) pun dari situlah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera Kerajaan Perpaduan DUN Sungai Panjang di Parit 16 di sini pada Ahad malam.

DUN Sungai Panjang menjadi DUN pertama jentera di negeri ini yang dilancarkan menerusi kerjasama sulung antara BN dan PH.

Sehubungan itu, katanya, semua penyokong BN dan PH diminta terus memberi sokongan padu kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kemenangan pada PRN Selangor.

"Kalau semua penyokong BN memberikan sokongan padu kepada calon Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN, kita ada peluang sebab kawasan Melayu kita masih lagi berpengaruh, manakala pengundi bukan Melayu pula 98 peratus bersama PH.

"Kalau kita gabungkan pengundi (BN dan PH), kita boleh menang dan mengekalkan kerajaan negeri sedia ada ini," kata beliau.