Gerakan bertanding tiga kerusi DUN di Kedah

Dr Dominic (kiri) menyerahkan bunga sebagai tanda penghargaan kepada mantan Pengerusi Gerakan Kedah, Marimuthu Selvan pada Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Aggerik, di Alor Setar pada petang Ahad.
Dr Dominic (kiri) menyerahkan bunga sebagai tanda penghargaan kepada mantan Pengerusi Gerakan Kedah, Marimuthu Selvan pada Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Aggerik, di Alor Setar pada petang Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai tidak mendedahkan kawasan DUN yang akan ditandingi.

Beliau memaklumkan, semua perkara akan diumumkan selepas pembubaran DUN dijangka tidak lama nanti.

"Gerakan umum akan bertanding tiga kerusi DUN (di Kedah). Jangan tanya kawasan mana, jangan tanya siapa calon.

"(Ia) akan diumumkan pada masa ditetapkan selepas pembubaran DUN," katanya ketika berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Anggerik, di sini pada petang Ahad.

Dr Dominic Lau berkata, rundingan agihan kerusi antara Gerakan dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk PRN kedah telah selesai.

"Kita akan mengumumkan semua keputusan yang (diputuskan) komponen parti, yang mana (calon) akan mewakili PN untuk bertanding dalam DUN masing- masing (dijangka) diumumkan pada 22 Jun," katanya.

Beliau memberitahu, perkara itu telah dimaklumkan kepada pimpinan parti dan persediaan ketika ini akan diteruskan seperti biasa.

Dr Dominic Lau memaklumkan, beliau berpuas hati dengan persediaan jentera bagi menghadapi PRN tersebut.

"Saya juga memang berpuas hati dengan kerjasama antara pelbagai komponen parti PN termasuklah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan di Kedah,"katanya.

Beliau berharap kerjasama dan hubungan yang erat antara komponen parti itu akan membantu memenangkan PN dalam PRN akan datang.

Dalam perkembangan sama, Dr Dominic Lau berkata, PRN kali ini diharapkan menjadi medan 'pecah telur' untuk Gerakan memenangi kerusi DUN pada PRN terutamanya di Kedah selepas beberapa kekalahan sebelum ini.

"Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memang Gerakan kalah semua kerusi ditandingi dan lima tahun (kebelakangan) ini bukan senang dan banyak kerja keras dan perubahan telah dilakukan.

"Kita ikut cara 'plan, do, cheak, action'. Semasa kita rancang, kita akan melaksanakan (dan) selepas melaksanakan kita akan mengekalkan kekuatan dan mengubah kelemahan kita yang kita katakan tindakan,"katanya.

Beliau menambah lagi, Gerakan telah melakukan pelbagai perubahan demi menguatkan organisasi bersama ahli dan akar umbi.

"Walaupun, kita (Gerakan) dibawah PN tidak mampu membawa kerusi atau (dilantik) Yang Berhormat tetapi kita tidak putus asa. Kita tahu bahawa gabungan berada pada satu hala tuju yang betul untuk arena politik di negara,"katanya Sebelum itu, Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen diumumkan sebagai Pengerusi Gerakan Kedah yang baharu mengantikan Marimuthu Selvan yang melepaskan jawatannya.