Calon Gerakan kena fasih bahasa Melayu, guna wang sendiri

Dr Dominic (lima kiri) ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Anggerik, di sini pada petang Ahad.
Dr Dominic (lima kiri) ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Anggerik, di sini pada petang Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menetapkan beberapa kriteria dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia termasuklah syarat tambahan iaitu calon sedia dan sanggup menggunakan wang sendiri ketika bertanding.

Dr Dominic berkata, Gerakan terpaksa membuat penambahan kriteria calon bertanding pada PRN terbabit berikutan faktor sumber kewangan terhad parti.

"Kita berharap calon yang hendak bertanding itu (dapat) menanggung sendiri kos-kos dirinya sebagai calon untuk bertanding dalam PRN.

"(Bagaimanapun) Sebagai parti, sebagai pemimpin, sebagai presiden, kita akan membantu mendapatkan dana-dana daripada luar untuk membantu calon," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2023 di Taman Anggerik, di sini pada petang Ahad.

Beliau memberitahu, Gerakan akan terus mencari pelbagai inisiatif bagi mendapatkan dana kewangan untuk membantu calon parti berkempen nanti.

"Semalam (Sabtu), kita ada Konvensyen PN Pulau Pinang dan memang (kita) minta ahli-ahli (komponen) PN memberikan bantuan dari segi kewangan kepada kita.

"Dan juga ini termasuk (langkah) kita meminta (sumbangan) dana daripada orang awam semasa kita mengadakan ceramah dan seterusnya,"katanya.

Dr Dominic berharap usaha diambil kepimpinan Gerakan dapat meringankan dan membantu calon bertanding dalam PRN yang akan datang.

Beliau memaklumkan, antara kriteria lain dititikberatkan termasuklah calon fasih berbahasa Melayu.

"Memang adalah syarat yang sangat penting kerana kita tidak mahu selepas mereka dilantik (atau) dipilih sebagai Yang Berhormat (YB), tetapi (mereka) tidak boleh membela hak-hak (rakyat) di Dewan Undangan Negeri (DUN), di Dewan Rakyat (atau) di Dewan Negara, kita tidak mahu.

"Kita memang sudah tahu bahawa syarat bahasa itu adalah sangat penting sebagai YB atau sebagai wakil rakyat," katanya.

Selain itu, Dr Dominic memaklumkan, kriteria lain yang ditetapkan termasuklah calon boleh menang (winnable).

Jelas beliau, kepimpinan negeri akan diminta mencadangkan nama calon yang dirasakan sesuai untuk bertanding mewakili Gerakan dan PN sebelum penilaian dilakukan untuk memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan.

Dalam pada itu, Dr Dominic mengingatkan tumpuan perlu diberikan untuk memenangi PRN Pulau Pinang berbanding mengfokuskan siapa yang akan dicalonkan sebagai Ketua Menteri.

Beliau berkata, isu merebut jawatan Ketua Menteri dalam Gerakan merupakan antara sebab parti itu kehilangan Pulau Pinang ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.

"Jadi, saya mengumumkan perkara ini semalam (Sabtu), jangan kita bincang tentang siapa yang akan menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang).

"Kita menang (pilihan raya negeri) dahulu barulah kita bincang siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya.

Dr Dominic berpandangan, soal kaum juga tidak harus dijadikan isu dalam pelantikan bakal Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya PN merampas negeri itu dalam PRN nanti.