Speedy Tigers bereksperimen di Korea Selatan

Skuad Speedy Tigers ketika menggalas cabaran negara di Piala Dunia 2023 lalu. - Foto Malaysian Hockey Confederation
Skuad Speedy Tigers ketika menggalas cabaran negara di Piala Dunia 2023 lalu. - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

BUMI Korea Selatan menjadi pentas skuad hoki lelaki negara menguji sistem permainan baharu menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, India Ogos depan.

Pengendali skuad The Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, perlawanan persahabatan tersebut penting dalam menguji tahap keupayaan mengadaptasi sistem permainan baharu digunakan pasukannya.

“Kami kini mempunyai satu sistem permainan yang baharu dan jelajah ini akan kami gunakan sebagai medan bereksperimen dengan sistem baharu yang telah kami terapkan di dalam pasukan.

“Kami melakukan sedikit perubahan kepada sistem permainan selepas pulang daripada Piala Dunia 2023 pada Januari lalu.

“Inilah peluang terbaik untuk pasukan menilai sejauh mana keberkesanan sistem baharu yang kami terapkan,” katanya.

Sebagai rekod, Speedy Tigers akan ke Incheon, Korea Selatan bermula 18 hingga 28 Jun ini.

Terdahulu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan Speedy Tigers bakal berdepan empat perlawanan menentang pasukan kebangsaan Korea Selatan dalam Siri Jelajah Persahabatan di negara berkenaan.

“Ia akan turut menjadi platform untuk dua pemain yang baru dipanggil menyertai skuad senior lelaki kebangsaan, Mohd Fitri Saari dan Abdul Khaliq Hamirin untuk membuktikan kemampuan mereka beraksi bersama pasukan serta menentang pasukan di ranking kesembilan dunia, Korea Selatan,” kata KHM.

Dalam pada itu, Arul menegaskan siri jelajah tersebut turut bakal dijadikan perlawanan untuk menilai tahap kondisi fizikal pemain.

Katanya, 90 peratus perubahan sistem permainan yang dilakukan akan melibatkan fizikal dan kekuatan para pemain.

“Perlawanan di Korea Selatan menjadi medium untuk memastikan para pemain untuk lebih bertanggungjawab dalam permainan terutamanya dari segi kefahaman taktikal.

“Bagaimanapun fokus utama pasukan pada siri jelajah persahabatan ini ialah sistem permainan kami dan juga posisi pemain termasuk kekuatan fizikal mereka untuk bersaing.

“Terdapat juga sedikit perubahan posisi pemain yang akan saya lakukan pada siri jelajah persahabatan ini,” katanya.


INFO
Siri Jelajah Korea Speedy Tigers

1.Adrian Andy Albert (Penjaga gol)

2.Mohd Zaimi Mat Deris (Penjaga gol)

3.Muhammad Razie Abd Rahim (Pertahanan)

4.Muhammad Marhan Mohd Jalil (Pertahanan)

5.Muhammad Najmi Farizal Jazlan (Pertahanan)

6. Muhammad Aminuddin Mohd Zain (Pertahanan)

6.Muhammad Syafiq Hassan (Pertahanan)

7.Muhajir Abdu Rauf (Pertahanan)

8.Muhammad Najib Abu Hassan (Pertahanan)

9.Faiz Helmi Jali (Tengah)

10.Meor Muhammad Azuan Hassan (Tengah)

11.Muhammad Amirul Hamizan Azahar (Tengah)

12.Shello Silverius (Tengah)

13.Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Tengah)

14.Abdul Khaliq Hamirin (Tengah)

15.Muhammad Firhan Ashaari (Penyerang)

16.Faizal Saari (Penyerang)

17.Mohamad Ashran Hamsani (Penyerang)

18.Shahmie Irfan Suhaimi (Penyerang)

19.Mohd Fitri Saari (Penyerang)