Sumali hargai sokongan konsisten MOM terhadap PSM

Sumali
Sumali
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyifatkan sokongan konsisten Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap badan induk itu telah banyak membantu menyelesaikan kemelut dihadapi sebelum ini.

Malah tanpa berselindung Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan mengakui tanpa keyakinan tinggi Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkemungkinan badan induk antara tertua dunia tersebut berkubur.

“Ya, kami warga PSM amat terhutang budi dan menghargai peranan aktif dimainkan MOM di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza kerana terus konsisten mengiktiraf PSM sebagai badan induk bagi sukan sepak takraw.

“Sejujurnya pengiktirafan ini sebenarnya adalah antara faktor utama penyumbang kepada usaha berterusan PSM dalam pembangunan sukan sepak takraw negara,” katanya selepas PSM kembali diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkuat kuasa Ahad.

Terdahulu, Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader ketika mengumumkan perkara itu menyatakan badan induk sepak takraw Asia berkenaan meluluskan permohonan PSM sejak dua bulan lalu dalam usaha melonjakkan lagi ketrampilan sukan sepak takraw tanah air.

PSM sebelum ini disingkirkan daripada ASTAF pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Februari 2021.

PSM kemudian pernah menghantar permohonan untuk kembali menyertai ASTAF, namun ditolak pada Mac 2022 sebelum sekali lagi mengemukakan permohonan pada Disember lalu sejajar hala tuju badan induk itu untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama Sumali menyambut baik pengumuman ASTAF setelah kemelut badan induk itu selesai apabila semua ahli gabungan negeri dan bersekutu kembali bernaung di bawah PSM.

“Dengan pengiktirafan ini, PSM yakin akan mampu menyumbang kepada pembangunan sukan tradisi ini di peringkat rantau Asia.

“Malah, PSM turut komited penglibatan Malaysia akan membantu meningkatkan usaha pengkomersialan sukan sepak takraw dalam meningkatkan minat di kalangan negara-negara lain, dengan harapan ia akan dipertandingkan di kejohanan antarabangsa yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya yang juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan serta sumbangan kepada sukan sepak takraw negara.

Dalam masa sama PSM turut menghargai sokongan dalam kalangan ahli gabungan dan bersekutu serta rakan-rakan strategik atas sokongan yang telah diberikan sepanjang penubuhan badan induk tersebut.

“Kerjasama di antara semua pihak ini diharap akan dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang demi kelangsungan pembangunan sepak takraw negara,” katanya.