Shafie sahkan Raymond Tan minat sertai Warisan

Raymond Tan
Raymond Tan
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengesahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah ada datang berjumpa dengannya baru-baru ini untuk menyatakan hasrat menyertai Warisan.

Namun, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata pihaknya belum menerima borang kemasukan menyertai Warisan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat itu.

"(Perkembangan) ini sememangnya menyenangkan. Beliau (Raymond Tan) ada bertemu saya, beliau datang berjumpa saya beberapa hari lalu, beliau menyatakan demi perjuangan Sabah, beliau memutuskan untuk menyertai Warisan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar menyatakan Raymond Tan yang juga bekas Naib Presiden Gerakan dipercayai akan menyertai Warisan bersama penyokongnya hari ini dan akan menyerahkan borang kemasukan ke parti itu kepada Mohd Shafie dalam satu majlis di Sandakan.

Mohd Shafie berkata kemasukan Raymond Tan, yang pernah memegang protfolio sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah sebelum ini, akan memberi manfaat kepada kerajaan Sabah sekarang kerana beliau adalah seorang berpengalaman luas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Raymond Tan tewas di kerusi Tanjung Papat kepada Timbalan Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung yang mendapat majoriti 5,818 undi. -Bernama

Artikel Berkaitan: