Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN - MB

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (empat, kanan) berswafoto bersama penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (empat, kanan) berswafoto bersama penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau perlu menghormati Sultan Selangor kerana tarikh pembubaran bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan baginda.

"Saya tidak boleh beritahu sebab apa hal pun saya perlu menghormati Tuanku Sultan Selangor sebab perkenan Tuanku akan menetapkan bila tarikh (pembubaran)," katanya.

Beliau ditemui selepas berakhir Majlis Amanat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Kepada Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah di sini, pada Isnin.

Pada Isnin, Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa DUN Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, dakwaan itu tidak benar dan tarikh itu merupakan lengkap selama lima tahun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar iaitu 19 Jun 2018 yang lepas.

Sebelum ini, pada 5 Jun, media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Azmin Ali di program ceramah PN di Tanjong Karang, mendakwa, DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun.

Sementara itu, Amirudin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor juga masih belum mencapai kata sepakat dalam rundingan membabitkan tiga daripada 56 kerusi DUN.

Menurutnya, setakat ini belum ada perbincangan rasmi namun satu lagi perbincangan terakhir dijangka berlangsung pada minggu ini sebelum keputusan dapat dimuktamadkan.

"Belum ada perbincangan rasmi, dalam minggu ini ada satu perbincangan terakhir, dan selepas itu akan dimuktamadkan dan saya yakin sebelum atau selepas Hari Raya Aidiladha kita akan dapat (keputusan) dan putuskan," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun perbincangan bersama BN adalah jauh lebih baik berbanding bersama salah satu parti komponen dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya sebelum ini.

"Semasa PR dahulu pada malam pilihanraya pun masih bertindih, pada Pilihan Raya Umum 2013, Pas letak calon di Kota Damansara, (Pas) rakan kongsi dan itu dah bertindih teruk," katanya.