Kerajaan setuju tanggung baki bayaran premium tanah - MB Johor

Sebahagian penerima kunci rumah penempatan baharu di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim, Benut.
Sebahagian penerima kunci rumah penempatan baharu di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim, Benut.
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju menanggung baki 20 peratus pembayaran premium tanah melibatkan perpindahan penduduk dari tiga buah kampung ke Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim, Benut.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada majlis penyampaian notis 5A serta penyerahan kunci rumah projek Taman Dato' Hajjah Fatimah Salim membabitkan penduduk Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang.

"Dari seri bayaran premium tanah seperti yang diminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar kerajaan negeri pertimbangkan 80 peratus diskaun premium tanah, kerajaan negeri seterusnya memberikan kelulusan.

"Bukan itu sahaja, di peringkat KKDW yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, turut memberikan kelulusan supaya baki 20 peratus premium tidak perlu dibayar. Maka dari segi premium tanah kepada penduduk yang bakal berpindah, adalah percuma 100 peratus," katanya.

Sebelum itu, seramai 149 ketua isi rumah menerima kunci rumah baharu mereka di Taman Dato' Hajjah Fatimah Salim dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Benut di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Onn Hafiz (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk yang akan berpindah ke penempatan baharu di Benut.
Onn Hafiz (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk yang akan berpindah ke penempatan baharu di Benut.

Sebelum itu, pada 28 April lalu, kerajaan negeri dilaporkan bersetuju memberi diskaun sebanyak 80 peratus bagi pembayaran premium tanah bernilai RM1.6 juta daripada nilai keseluruhan premium sebanyak RM2 juta kepada penduduk dari tiga buah kampung yang bakal berpindah ke penempatan baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Benut.

Tambah Onn Hafiz, sebanyak 170 unit rumah dibina di Taman Dato' Hajjah Fatimah Salim sebagai penempatan semula mangsa banjir akibat air pasang membabitkan penduduk Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang.

"Saya dimaklumkan projek ini telah diluluskan pelaksanaannya dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 bermula tahun 2016 hingga 2020 dengan peruntukan sebanyak RM38 juta di bawah seliaan KKDW.

"Saya juga berharap, apabila kunci rumah sudah diterima, penduduk segera berpindah dan kosongkan rumah lama dan berpindah ke rumah baharu dan bukannya memberi sewa rumah lama kepada saudara mara atau orang lain," katanya.