Isu kaum, agama jadi modal PRN Selangor

Mohamed Sukri Omar, Asmaaliff Abdul Adam
Mohamed Sukri Omar, Asmaaliff Abdul Adam
A
A
A

SHAH ALAM - Isu perkauman dan agama akan terus dimainkan bagi memburukkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, isu berkenaan dimainkan bagi menimbulkan ketakutan kepada bukan Melayu terhadap PN.

"Namun, walaupun naratif buruk ini dimainkan hakikatnya orang bukan Melayu melihat siapa yang mengkhianati rakyat dengan berpakat bersama kleptokrat.

"Apatah lagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal mentadbir dan membangunkan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun mengakui tohmahan tersebut memberikan kesan kepada Pas dan juga PN serta menyebabkan orang bukan Melayu tidak mengundi Pas dan PN.

Namun katanya, PN tidak pernah membezakan agama, kaum dan warna kulit malah wakil rakyat PN lantang dalam memperjuangkan nasib mereka yang tertindas.

Sementara itu, Pemuda Amanah Negara (Amanah) pula yakin Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan kekal di bawah PH pada PRN dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Parti Amanah Nasional, Asmaaliff Abdul Adam berkata, penguasaan itu dijangka berlaku berdasarkan rekod pentadbiran PH sebelum ini amat baik di ketiga-tiga negeri.

"Meski pun menghadapi cabaran hebat daripada PN yang bermain isu perkauman dan agama sempit Pemuda Amanah yakin PH akan kembali berkuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN yang akan diadakan pada Julai atau Ogos ini.

"Malah, rekod pentadbiran cemerlang PH dalam membangun institusi yang adil, berintegriti, dan berwibawa dianggap sebagai penanda aras bagi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada mereka, sambil menekankan isu-isu dan kepentingan rakyat yang utama," katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, Asmaaliff mengajak pengundi agar tidak ragu ragu untuk mempertahankan kerajaan negeri sedia ada bagi mencapai pentadbiran yang lebih baik untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau menambah, Pemuda Amanah juga tidak mahu pihak yang memerintah kelak hanya melahirkan pemimpin yang berdegar-degar dalam beretorik, tetapi isu utama seperti air bersih pun gagal dibekalkan kepada rakyat sebagaimana pemimpin PN.