Kajian projek terowong dasar laut di peringkat akhir

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Projek terowong dasar laut akan diteruskan dan kini di peringkat terakhir dalam penyediaan laporan kajian kebolehlaksanaan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini kerajaan negeri tidak mengalami sebarang halangan dalam meneruskan pembinaan projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu.

Menurutnya, laporan kajian tersebut akan dikemukakan CZC kepada perunding teknikal Kerajaan Pulau Pinang iaitu HSSI Sdn Bhd untuk semakan dan pengesahan.

"Ulasan terhadap draf laporan tersebut telah dipanjangkan kepada CZC pada April lalu untuk pindaan sebelum dimuktamadkan dan dipersetujui kerajaan negeri.

"Sehingga kini, kerajaan negeri tidak melakukan sebarang bayaran kepada CZC bagi laporan kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu.

"Pembayaran hanya akan dilaksanakan setelah laporan kajian kebolehlaksanaan yang disahkan oleh perunding teknikal dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan," katanya dalam sidang DUN tadi.

Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Mohd Yusni Mat Piah (PAS- Penaga) berhubung status terkini dan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk projek pembinaan terowong dasar laut.

Menjawab soalan Mohd Yusni mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek tersebut, Kon Yeow berkata, siasatan telah dijalankan pada suku tahun pertama 2018 namun tiada sebarang pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah dan wujudnya salah laku berkaitan projek ini.

"Pelaksanaan projek ini akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK). Bagaimanapun, buat masa ini projek tersebut masih diteruskan," katanya.

Kon Yeow berkata, projek tiga lebuh raya yang juga terkandung dalam PTMP telah mendapat kelulusan bagi kajian Penilaian Impak Sosial (SIA).

"Pameran awam berhubung projei itu juga telah dilaksanakan selama sebulan di sepanjang jajaran cadangan lebuh raya ini termasuk di Komtar, pejabat kerajaan dan tempat awam.

"Proses ini sudah pun berlalu. Jabatan Alam Sekitar telah meneliti kajian SIA dan meluluskannya. Untuk kajian untuk projek terowong pula, ia belum sampai ke peringkat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Yusni mengenai pameran umum pembinaan tiga lebuh raya tersebut akan diadakan untuk penduduk yang terjejas dengan projek itu atau sebaliknya.