Pokanime cipta peluang perniagaan, pelancongan

Rasta Rashid
Rasta Rashid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pokanime Planet anjuran Rasta Creation Sdn Bhd membantu mencipta peluang perniagaan kepada anak muda dan sektor pelancongan negara.

Pengasasnya, Rasta Rashid berkata, industri anime di negara ini mempunyai potensi besar terhadap sektor perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan.

"Karnival cosplay ini bertujuan untuk memberi manfaat ekonomi negara termasuk pendidikan, pelancongan, persembahan dan hiburan.

"Saya ingin mencipta peluang dan platform buat usahawan muda bagi meningkatkan produktiviti dan mengasah kemahiran mereka," katanya semasa ucapan perasmian acara Pokanime Planet di Pavilion Bukit Jalil pada Sabtu.

(Dari kiri) Rasta Rashid, bekas Pengarah Strategik Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif M150, Saw Lip Jin.
(Dari kiri) Rasta Rashid, bekas Pengarah Strategik Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif M150, Saw Lip Jin.

Dalam pada itu, beliau berkata, para peserta yang membuka vendor jualan seramai 166 orang berumur antara 16 tahun hingga 25 tahun.

"Semangat tersebut perlu disokong oleh pelbagai pihak dan membantu anak muda untuk terus bersaing dalam bidang perniagaan.

"Kita mahu mengasah kemahiran dan bakat anak muda negara ini supaya mereka terus bersemangat mencipta pekerjaan sendiri melalui aktiviti perniagaan," jelas pereka fesyen jenama 'Batek by Rasta Rashid'.

Sementara itu, bekas Pengarah Strategik Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman berkata, acara tersebut akan membantu perniagaan dan perkhidmatan domestik negara.

"Karnival seperti ini bukan sahaja membantu usahawan muda tetapi dapat mengeratkan hubungan antara kaum apabila mereka dapat melakukan aktiviti dan berkongsi pentas bersama," katanya.