'Kalau cerita pasal jawatan, saya sudah puas' - Shahidan

Shahidan ketika ditemui media di sebuah hotel di ibu negara bagi mesyuarat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pada Sabtu.
Shahidan ketika ditemui media di sebuah hotel di ibu negara bagi mesyuarat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyerahkan keputusan kepada pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi pencalonannya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ditawarkan pencalonan di mana-mana kerusi termasuk Selangor oleh gabungan gersebut.

"Apa yang penting sekarang ini adalah tugas saya untuk membantu jentera PN bagi pilihan raya kali ini.

"Kalau cerita pasal jawatan, saya sebenarnya sudah puas, saya sudah menyandang banyak jawatan pun sebelum ini termasuk menjadi Menteri Besar," ujarnya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di sebuah hotel di sini bagi mesyuarat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Shahidan pada masa yang sama menambah, PN kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding UMNO.

Tambahnya, ramai ahli parti itu sendiri hakikatnya telah kecewa dengan tindakan kepimpinan tertinggi yang dilihat tidak memihak kepada ketuanan Melayu, sebaliknya gabungan PN dilihat lebih mengenai perkara tersebut.

"UMNO sendiri pun hakikatnya hanya mempunyai 26 kerusi di Parlimen sahaja berbanding kami yang berjumlah 74.

"Jadi, dia sebenarnya tak memerintah, hanya menumpang orang untuk memerintah.