Skuad terjun berkampung di China sebelum ke Jepun

Mun Yee. - Foto Agensi
Mun Yee. - Foto Agensi
A
A
A

SKUAD terjun negara akan menjalani latihan pusat selama sebulan di China sebagai persediaan untuk mengharungi Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun Julai depan.

Skuad seramai 20 orang yang terdiri daripada enam jurulatih serta pegawai dan 16 atlet masing-masing lapan penerjun lelaki serta enam penerjun wanita akan 'terbang' ke negara itu minggu depan.

Jurulatih terjun negara, Datuk Leong Mun Yee berkata, skuad itu akan disertai penerjun berpengalaman negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Beliau berkata, kejohanan itu menjadi medan terbaik buat para penerjun untuk meraih slot awal ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Manfaatkan latihan berpusat ini dengan sebaik mungkin fokus kepada latihan tanpa sebarang gangguan," katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Pandelela yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan beraksi dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu wanita, manakala Dhabitah yang mengakhiri saingan di tempat keempat di Olimpik Tokyo 2020 bersaing bagi acara 3m papan anjal invidu wanita.

Mun Yee percaya penerjun negara terutama Pandelela dan Dhabitah mampu berada dalam kelompok 12 terbaik di Jepun bagi meraih slot ke Paris tahun depan.

Bagaimanapun katanya, para penerjun lain juga perlu memanfaatkan kejohanan tersebut untuk memberikan yang terbaik bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Apa yang penting adalah konsisten. Dhabitah dan Pandelela ada peluang (12 terbaik) dalam acara individu.

“Bagi kategori lelaki mungkin sukar sedikit untuk acara 10m individu, namun bagi 3m individu ada peluang. Apa pun buat yang terbaik, fokus dan konsisten,” katanya.

Bagi saingan individu, 12 atlet yang mara ke final secara automatik layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 manakala untuk acara seirama, atlet perlu menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas di pentas final.

Kejohanan Dunia tahun ini dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Julai depan dengan acara terjun akan membuka tirai saingan bermula 15 hingga 22 Julai.

Menurut Mun Yee, sekiranya penerjun terlepas peluang untuk meraih tiket ke Olimpik kali ini, mereka masih berpeluang berbuat demikian pada kejohanan sama tahun depan.

“Kalau Kejohanan Dunia kali ini belum layak tahun depan ada peluang lagi.

“Malah tahun depan ada kelonggaran sedikit. Mungkin 18 terbaik untuk saingan individu, manakala acara seirama tujuh terbaik. Ini bermakna ada empat lagi kouta,” katanya.