PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan ahli politik dalang judi

Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Acryl Sani
Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi maklumat bagi menjalankan siasatan mengenai 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi online.

"PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

"PDRM mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Justeru, Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Saiffuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan.