Wujud naungan politik lindungi judi dalam talian - Saifuddin

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Justeru, beliau menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

"Ya, memang wujud elemen naungan politik ke atas players (pengendali platform perjudian dalam talian) ini.

"Dari situ datang pengaruh dan perlindungan, korupsi dan rasuah, (oleh itu) wujud kehendak politik untuk mengada dan membaharui tekad memerangi habis-habisan.

"Pusingannya adalah 'players' dinaungi dan dia membalas (jasa) tuan politik. Tuan politik melindungi dia supaya tindakan tidak diambil. Contohnya, maklumat dibocorkan dan sebagainya," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

"Sekarang 2023, dua akta berkenaan tidak pernah dipinda. Saya akan berbincang dengan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebab akta ini turut dikawal selia Kementerian Kewangan.

"Pada 1953, kegiatan judi waktu itu hanya laga ayam. Sekarang judi dalam talian dan akta yang diguna pakai masih sama.

"Kalau polis ambil tindakan dan mereka lawan di mahkamah, judi dalam talian tidak termasuk dalam kedua akta berkenaan, mereka menang," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!