Kolam Air Tangki Taman Sri Hijau diaktifkan semula

A
A
A

Pemasangan injap baharu sedang dilakukan oleh pekerja kontraktor.
Pemasangan injap baharu sedang dilakukan oleh pekerja kontraktor.

SHAH ALAM - Lebih 600 akaun berdaftar di Rawang akan menerima manfaat daripada projek pengaktifan semula Kolam Air Tangki Menara Taman Sri Hijau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, Kolam Air Tangki Taman Sri Hijau itu merupakan inisiatif kerajaan negeri Selangor bersama Air Selangor bagi mengatasi isu gangguan bekalan air.

“Selepas kerajaan negeri Selangor mengambil alih urusan air, kita lihat proses penambahbaikan termasuk penukaran paip lama telah dijalankan.

WEI KIAT
WEI KIAT

“Ia bermula dengan mengaktif semula kolam tangki besar itu untuk menjadi kolam tangki simpanan air kepada penduduk di Taman Sri Hijau.

“Saya ambil maklum bahawa sudah lebih 20 tahun tangki itu tidak diaktifkan, meskipun telah dibina namun ia tertangguh disebabkan antaranya faktor kos,” katanya kepada Sinar Harian.

Wei Kiat (kiri) ketika majlis taklimat yang dijalankan oleh Air Selangor baru-baru ini.
Wei Kiat (kiri) ketika majlis taklimat yang dijalankan oleh Air Selangor baru-baru ini.

Tambah Wei Kiat, setelah kerajaan negeri melaksanakan pengambilalihan urusan air, kerajaan negeri dalam masa sama mempunyai peruntukan untuk melaksanakan proses menaiktaraf infrastruktur tersebut.

Ujarnya, dengan usaha itu diharapkan isu gangguan air itu dapat ditangani.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, fungsi kolam air tangki itu sekiranya berlaku gangguan bekalan air di Taman Sri Hijau, ia mampu menampung dan bertahan sehingga lebih lapan jam untuk digunakan sekali gus membantu keperluan kehidupan penduduk di taman tersebut.

ABAS
ABAS

Beliau turut memaklumkan Kolam Menara yang berketinggian 26m dengan kapasiti 1200m3 itu dijangka siap hujung tahun ini dan boleh digunakan pada awal tahun 2024.

Masalah selesai

Ketua Kampung Melayu Pekan Rawang, Zahariman Abd Ghani mengakui penduduk Taman Sri Hijau kini boleh menarik nafas lega kerana permasalahan gangguan bekalan air di kawasan mereka menemui jalan penyelesaian.

ZAHARIMAN
ZAHARIMAN

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri dan Air Selangor itu antara usaha yang terbaik bagi menangani isu berkenaan.

“Memang bagus tindakan mereka kerana dapat memberi manfaat kepada orang kampung. Sebelum pembaikan dan pengaktifan kolam ini siap, gangguan air agak kerap berlaku.

“Akhirnya dengan inisiatif berkenaan, pihak saya dan orang kampung berasa amat lega,” tambahnya.

Kerja-kerja pengaktifan semula kolam air tangki menara giat dijalankan.
Kerja-kerja pengaktifan semula kolam air tangki menara giat dijalankan.

Beliau memberitahu, proses dan kerja-kerja pembaikan semula kolam air tangki itu sedang dilaksanakan termasuk penurapan semula jalan yang terlibat.

“Bagaimanapun, jika melibatkan penutupan air kami harap pihak mereka memberi notis terlebih dahulu. “Ia bagi memastikan penduduk tidak kalut sekali gus dapat menyimpan air untuk aktiviti harian,” ujarnya.