Nur Alyssa cipta kejutan raih perak keirin remaja

Nur Alyssa bersama pingat Perak yang diraih pada acara Women Junior Keirin sempena ACC 2023 di Velodrom Nasional pada Khamis. - Foto Bernama
Nur Alyssa bersama pingat Perak yang diraih pada acara Women Junior Keirin sempena ACC 2023 di Velodrom Nasional pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

NUR Alyssa Mohd Farid mencipta kejutan dengan merangkul pingat perak acara keirin remaja wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional di Nilai pada Khamis.

Pelumba berusia 17 tahun itu, tidak gugup dalam penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa, untuk mempamerkan kayuhan bertenaga dan taktikal bijak untuk mencipta nama selaku pemenang pingat di pentas Asia.

Lebih manis, anak jati Muar, Johor itu, hanya membuat latihan sepenuh masa selama sebulan untuk pertandingan trek buat pertama kali, dengan pengalaman beliau sebelum ini hanyalah menerusi Program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM).

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana pencabar di sini bukan calang-calang, terutamanya dua pelumba Korea Selatan. Ini kejayaan paling besar dalam karier saya setakat ini.

Saya harap mampu mengekalkan prestasi baik ini untuk meraih pingat pada acara 500m ujian masa dan pecut. Pecut yang menjadi acara kegemaran saya, jadi saya harapkan kejayaan acara itu,” katanya kepada pemberita.

Korea Selatan mendominasi acara keirin remaja wanita menerusi Na Yunseo yang memenangi pusingan akhir itu dengan catatan 11.998 saat (s), manakala Kim Doye membawa pulang gangsa.

Seorang lagi wakil negara, Yong Ann Tung menduduki tempat ketujuh selepas terlepas saingan final.

Skuad remaja negara turut menghadiahkan pingat gangsa menerusi Intan Suraya Tokiman dalam acara scratch remaja wanita, manakala emas dan perak masing-masing menjadi milik Misaki Okamoto dari Jepun dan wakil Korea Selatan Kwon Nahye.

Sementara itu, pelumba lebuh raya Mohd Harrif Saleh yang beraksi dalam perlumbaan penyingkiran elit lelaki, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kelapan, manakala Nur Fitrah Shaari menduduki tempat kesembilan bagi saingan wanita acara sama.

Dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia Para yang diadakan serentak dengan ACC 2023, skuad berbasikal para beraksi cemerlang untuk menyumbangkan sebutir emas, dua perak dan dua gangsa.

Skuad negara mendominasi acara 1 kilometer (KM) ujian masa wanita B berbasikal para B, dengan Nur Suraiya Muhamad Zamri merangkul emas dengan catatan satu minit dan 12.501 saat, manakala Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (1:12.704s) meraih perak.

Gangsa menjadi milik wakil dari Indonesia, Sri Sugiyanti (1:16.740s).

Saingan 1KM ujian masa lelaki B pula menyaksikan Mohd Khairul Hazwan Wahab (1:04.530s) meraih perak, manakala Kazuhei Kimura (1:03.546s) dari Jepun dan pelumba Iran, Mohammad Dalir Heidarabadi (1:05.361s) masing-masing meraih emas dan gangsa.

Dua lagi pingat gangsa untuk Malaysia disumbangkan oleh Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menerusi acara scratch lelaki para C1-C3 dan Zuhairi Ahmad Tarmizi dalam acara scratch lelaki para C5. - Bernama